Rabu, Jun 17, 2009

Hakikat Kehidupan

15 Jun 2009, 3.45 pagi....

Hari ini aku rasakan sungguh berlainan dari selalu. Entah kenapa hatiku berasa penuh dengan ketenangan dan fikiranku terlalu lapang. Alhamdulillah, mungkin berkat doaku kepada Allah. Mungkin Allah telah memakbulkan doaku setelah sekian lama aku meminta dariNya agar dikurniakan ketenangan hati dan kelapangan fikiran agar aku akan lebih tabah, kuat dan sabar menempuhi hari-hari mendatang.

Empat bulan lepas aku sering bertanya pada diriku sendiri. Mengapa Allah temukan aku padamu, kemudian membiarkan aku mengasihi, menyintai dan menyayangi dirimu, dan akhirnya memisahkan aku darimu? Setiap hari yang ku lalui penuh dengan kegelapan, kesedihan dan kesunyian. Hatiku sepi, fikiranku mati. Empat bulan aku menempuhi hari-hari mendatang tanpamu menyebabkan aku merasakan seolah-olah hidupku sudah tiada makna lagi. Aku akui memang sukar untukku melalui tempoh empat bulan tersebut. Terlalu payah untukku menerima apa yang telah berlaku padaku. Tapi syukur Alhamdulillah, Allah masih menyayangiku. Kalau dulu aku sering tertanya-tanya mengapa kita bertemu, bercinta dan kemudian berpisah, tapi kini aku mula mensyukuri semua ini.

Aku tidak menyalahkanmu di atas apa yang berlaku. Aku cermin diriku sendiri, memang aku tidak layak untukmu. Kau terlalu baik untukku. Aku hanyalah seorang wanita yang tidak pernah puas dengan apa yang aku ada. Aku mendapat kasih sayang yang cukup darimu. Tiada sedikit pun kekurangan, tapi kerana aku wanita yang tidak pernah puas, aku menjadi tamak. Aku takut akan kehilangan kasih sayangmu itu. Aku takut kasih sayangmu itu akan berkurangan setelah kau mengakui kau ada yang lain di hatimu. Aku tidak menyalahkanmu bila mengetahui kau ada yang lain, kerana aku sedar aku terlalu banyak kekurangan jika dibandingkan dengannya. Ada sesuatu yang dia miliki tiada padaku. Sesuatu yang memang tidak dapat aku ambil kembali.

Benar, dulu aku menyalahkanmu meninggalkan aku. Aku cuba membenci dirimu agar aku dapat melupakan semua kenangan dan terus melupakanmu serta menghapuskan dirimu dari hidupku, kenanganku dan masa laluku. Aku yakinkan diriku yang aku tidak pernah mengenali seseorang yang bernama N. Aku katakan pada diriku, segala keterlanjuran kita semasa bersama dahulu bukanlah datang dari kasih sayangmu, tapi datangnya dari hatimu yang sekadar mengambil kesempatan di atas sejarah silamku yang hitam. Aku yakinkan diriku, kau bersamaku untuk kemewahan semata-mata agar kau dapat memberikan kesenangan kepada dirimu. Aku cuba yakinkan diriku bahawa kau bersamaku hanya kerana nafsu dan wang ringgit. Habis madu sepah dibuang. Tapi semakin aku cuba membencimu, semakin aku sayang padamu. Tapi itu untuk empat bulan yang lepas. Semuanya sudah berlalu. Aku akur dengan kehendak Allah. Aku redha dengan ketentuanNya.

Hari ini, puas aku kenang kembali saat bersama kita dulu. Aku sedikit pun tidak merasa marah atau sakit hati padamu. Perasaan benci pun tidak wujud dalam diriku. Hari ini aku yakin bahawa Allah telah memperkenankan doaku agar dikurniakan kekuatan, ketabahan, kesabaran, ketenangan, kelapangan, kedamaian, kebahagiaan dan kesejahteraan hati dan fikiranku. Aku benar-benar bersyukur kepadaNya di atas kurniaanNya ini. Alhamdulillah.... semua ini ku perolehi setelah aku berusaha mendekatkan diriku padaNya. Aku kenang kembali waktu dulu, aku merasakan terlalu banyak silap dan salahku padamu yang aku mengerti jika kau tidak memaafkanku kerana itu. Aku sememangnya tidak layak untukmu. Aku mawar yang pudar warna, manakala dia mawar merah yang kembang mekar di taman. Aku bersyukur kerana kau bersama wanita sepertinya yang lebih baik dariku. Kemanisan, kecantikan dan keayuannya terlalu jauh berbeza jika dibandingkan denganku. Aku yakin kau telah membuat pilihan yang tepat dalam hidupmu. Perhubungan kita hanyalah satu episod dalam kehidupan kita. Apakah ini bermakna aku sudah mula dapat menerima ketentuan Allah padaku? Allah sengaja menemukan aku dengan lelaki yang bukan jodohku supaya bila aku dipertemukanNya dengan jodohku kelak, aku akan lebih tabah dan kuat dalam mengharungi liku-liku perhubungan kami, dan andainya kami dipisahkan oleh ajal, aku sudah bersedia dan sabar kerana aku sudah belajar erti perpisahan. Itu yang kupelajari dari kisah cintaku.

Aku amat berterima kasih padamu kerana memberikan aku pelajaran yang terbaik. Kau telah menjadi guru dalam hidupku. Pelajaran yang ku pelajari dari perhubungan kita menyedarkan aku betapa aku telah jauh hanyut dalam keseronokan dunia. Betapa aku alpa, dan lupa padaNya. Kini aku sedar betapa aku hampir karam dan tenggelam. Aku cuba untuk berenang ke tepi. Aku mula menyedari setiap yang berlaku memang telah ditentukanNya. Kalau dulu aku menyalahkan takdir, kerana takdir menemukan aku padamu, kemudian aku jatuh cinta padamu, menyayangi dan mengsihimu lebih dari segalanya, dan akhirnya takdir itu juga yang memisahkan aku darimu. Kini aku terima apa yang berlaku semuanya adalah hukum karma. Aku percaya Allah sengaja menemukan kita, dan kemudian memisahkan kita kerana Dia sayangkanku. Dia cuba menguji kesabaranku. Allah tidak akan memberikan ujian dan dugaan kepada hambaNya melebihi batas kemampuan hambaNya. Dan sekiranya Allah menurunkan ujian dan dugaan pada hambaNya, itu bermakna Allah mengingati hambaNya. Aku bersyukur kerana Allah telah membalas segala kesilapan dan kesalahanku terhadap keluargamu, anak isterimu dan dirimu di dunia ini. Bagaimana kalau Dia membalasnya di sana nanti? Mampukah aku menananggung seksa di akhirat nanti? Sedangkan terlalu banyak dosa yang telah ku lakukan.

Aku ingat kembali waktu kita bersama dahulu. Betapa asyiknya kita melakukan dosa sehingga lupa padaNya, lupa pada balasanNya. Syukur kerana masih diberikan peluang untuk bertaubat. Dua bulan lepas aku mengenali seorang rakan yang ku gelar ustazah walau dia bukanlah seorang ustazah. Aku ingat lagi saat perkenalan kami. Mungkin pertemuan kami ditentukan Allah supaya aku boleh belajar daripada rakan baruku ini. Aku bersyukur kerana aku dihantar berkursus pada waktu itu. Jika tidak kerana berkursus di Petaling Jaya, aku tidak akan berpeluang untuk mengenalinya. Daripadanya aku banyak belajar erti kesabaran dan ketabahan. Aku banyak belajar tentang taubat. Dialah yang banyak membantuku mendekatkan diriku kepada Allah. Dia juga banyak membantuku untuk mengenal diriku sebenar, dan mencari siapa diriku. Daripadanya aku belajar solat sunat taubat, yang tidak pernah ku kerjakan selama 29 tahun hidupku. Selama ini aku hanya mengetahui tatacara mengerjakannya, tetapi tidak pernah sekali pun aku mengerjakannya. Ya Allah, alangkah bahagianya jika aku dapat mengajaknya bersamaku mengerjakan solat sunat taubat ini. Aku sedih dan kesal kerana kita boleh melakukan dosa bersama, tapi apabila aku mula cuba mendekatkan diriku padaNya, menyesali perbuatan dan dosaku, aku hanya lakukannya seorang diri, bukan bersamamu. Aku gagal membawamu untuk bersama denganku kembali ke jalan yang lurus. Terlalu besar dosaku kerana hanya mampu membawamu ke jalan kegelapan, tapi gagal membawamu ke jalan yang benar. Semoga Allah mengampuni dosa-dosaku dan dosa-dosamu. Hanya itu yang mampu ku lakukan untukmu.

Aku kini sedar aku sudah tidak wujud lagi dalam diari hidupmu. Aku sudah tidak kau perlukan lagi. Aku faham jika kau tidak lagi mengakui sebagai kawan. Aku mengerti jika kau mengakui kepada dunia sekali pun yang dalam hidupmu kau tidak pernah mengenali insan bernama A. Aku tidak akan pernah menyalahkanmu jika itu yang berlaku. Aku mohon maaf di atas segala kesilapan dan kesalahanku. Aku mohon maaf kerana pernah merampas kebahagiaan dari hidupmu dan keluargamu. Izinkan aku untuk menyimpan saat manis kita bersama agar menjadi kenangan terindah dalam diari hidupku. Aku mendokan agar kau beroleh kebahagiaan. Aku tidak pernah membencimu dan aku tidak menyalahkanmu di atas apa yang berlaku. Aku redha dengan ketentuan Allah padaku. Menyayangi tidak bermakna memiliki. Kerana itu aku belajar untuk memaafkan dan melupakan. Semoga kebahagiaan menjadi milikmu kerana kebahagiaanmu amat bermakna buatku. Semoga Allah mengurniakan kita ketenangan, kedamaian, kebahagiaan dan kesejahteraan hidup... Amin.

1 ulasan:

  1. Bertaubatlah selagi pintu taubat itu masih terbuka... InsyaAllah taubatmu akan diterima... Berdoalah agar N juga akan mengikuti jejakmu itu...

    BalasPadam